Sunday, 8, June, 2025
Utama Nasional Hasrat Pakistan jadi rakan dialog penuh ASEAN dibawa ke meja pemimpin serantau

Hasrat Pakistan jadi rakan dialog penuh ASEAN dibawa ke meja pemimpin serantau

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN akan dibawa ke peringkat tertinggi, menerusi perbincangan bersama ketua-ketua negara anggota blok serantau itu.

Menurut beliau, perkara tersebut akan menjadi sebahagian daripada agenda dalam mesyuarat akan datang bersama pemimpin ASEAN bagi menilai kesesuaian dan sumbangan Pakistan dalam memperkukuh hubungan serantau.

“Itu (perkara) akan dibawa ke persidangan dan perbincangan ketua-ketua ASEAN,” katanya ringkas kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah yang menyatakan Islamabad telah memperbaharui usaha untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang negara itu terhadap kerjasama serantau.

Pakistan kini berstatus rakan dialog sektoral ASEAN sejak 1993 dan dilaporkan telah menunjukkan minat berterusan untuk memperluas kerjasama sedia ada dengan negara-negara Asia Tenggara.

Sebelum ini, pada Oktober lalu, Anwar turut menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap aspirasi Pakistan untuk meningkatkan taraf penyertaan dalam ASEAN.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengulas kenyataan Pakistan yang menyambut baik tawaran beliau untuk menjadi pengantara dalam menyelesaikan ketegangan antara India dan Pakistan.

Namun begitu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau tidak memainkan sebarang peranan rasmi dalam hal tersebut, sebaliknya hanya mengutarakan pandangan ikhlas sebagai usaha mendorong penyelesaian secara damai.

“Saya tak ada peranan apa-apa, cuma berikan pandangan sahaja,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra bersama hampir 15,000 jemaah yang hadir seawal pagi. Kehadiran beliau disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Anwar yang mengenakan baju Melayu biru cair turut menyertai laungan takbir raya bersama para jemaah sebelum menunaikan solat yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.

Khutbah Aidiladha bertajuk “Korban dan Semangat Kebersamaan” yang disampaikan selepas solat menekankan nilai adab, keikhlasan dan niat dalam pelaksanaan ibadah korban, selain menyeru umat Islam menzahirkan solidariti terhadap saudara seagama yang sedang ditimpa musibah.

Sebelum meninggalkan perkarangan masjid, Anwar turut meluangkan masa menyantuni para jemaah, bersalaman dan beramah mesra dalam suasana penuh harmoni serta mesra rakyat

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com