Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Anwar sertai dua sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura

Anwar sertai dua sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura

oleh admin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura, hari ini.

Kementerian Luar memaklumkan, dua sesi khas berkenaan ialah ‘A Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ dan ‘Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.’

Kedua-dua sesi itu turut disertai pemimpin-pemimpin industri global dan syarikat-syarikat pelaburan.

“Di samping itu, Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dalam satu sesi minum petang.

“Kedua-dua pemimpin itu dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri turut diiringi isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta para pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.

Wisma Putra berkata, pada tahun lalu, Singapura merupakan rakan dagang dunia kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan mencecah RM390.4 bilion (USD83.53 bilion) yang merangkumi 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 29.4% berbanding jumlah dagangan pada tempoh yang sama bagi tahun 2021 (RM301.7 bilion/US64.55 bilion).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com