Sunday, 15, June, 2025
Utama Ekonomi SST disemak semula mulai 1 Julai: fokus tingkat hasil tanpa bebani rakyat

SST disemak semula mulai 1 Julai: fokus tingkat hasil tanpa bebani rakyat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Bermula 1 Julai ini, kerajaan akan melaksanakan penyelarasan semula kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) secara bersasar, selaras dengan komitmen untuk menambah baik sistem percukaian negara seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, langkah itu dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil kerajaan dan meluaskan asas cukai, namun dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak membebankan rakyat kebanyakan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan ini dirangka dengan pendekatan berhati-hati agar barangan dan perkhidmatan asas tidak terjejas. Pada masa sama, pelbagai kemudahan akan diberikan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Tambahan hasil daripada penambahbaikan SST ini akan membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan tunai yang lebih tinggi kepada rakyat dan memperkukuh prasarana asas serta penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.

Cukai Jualan (CJ):
Kementerian menegaskan bahawa kadar 0% dikekalkan bagi barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, beras, susu, ubat-ubatan, buku, bahan binaan dan input pertanian.

Sementara itu, barangan pilihan seperti ikan salmon, truffle, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan kadar 5%. Bagi barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik pula, kadar 10% akan dikenakan.

Cukai Perkhidmatan (CP):
Enam kategori baharu akan dikenakan CP mulai 1 Julai:

  1. Sewaan dan Pajakan – Dikenakan 8% bagi syarikat yang merekodkan pendapatan ≥ RM500,000. Pengecualian diberi kepada bangunan kediaman, PMKS dan pajakan luar negara.
  2. Kerja Pembinaan – Dikenakan 6% bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM1.5 juta. Namun, pembinaan untuk kediaman dan kemudahan awam tidak dikenakan cukai.
  3. Perkhidmatan Kewangan – Cukai 8% dikenakan ke atas fi dan komisen, dengan pengecualian untuk perbankan asas, syariah serta pasaran modal.
  4. Jagaan Kesihatan Swasta – Hanya dikenakan 6% untuk bukan warganegara. Rakyat Malaysia dikecualikan sepenuhnya termasuk perkhidmatan rawatan tradisional dan kesihatan bersekutu.
  5. Pendidikan Swasta – Dikenakan 6% ke atas yuran tahunan melebihi RM60,000 dan hanya kepada pelajar bukan warganegara. Rakyat Malaysia dan individu kelainan upaya (OKU) dikecualikan.
  6. Perkhidmatan Kecantikan – Termasuk rawatan wajah dan dandanan rambut, akan dikenakan 8% untuk syarikat berpendapatan ≥ RM500,000.

Kerajaan turut memberi jaminan bahawa tiada tindakan pendakwaan atau penalti akan dikenakan terhadap mana-mana syarikat yang mematuhi peraturan SST sehingga 31 Disember 2025.

Maklumat lanjut, termasuk garis panduan dan soalan lazim (FAQ), akan dikeluarkan melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com