KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan MADANI kekal teguh dalam usahanya memerangi gejala rasuah serta salah guna kuasa, namun mengakui reformasi untuk menangani cabaran ini memerlukan masa sebelum kesannya dapat dilihat.
“Tiada undur ke belakang. Yang penting, setiap bulan dan setiap tahun mesti ada kemajuan, walaupun sedikit,” katanya.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, ada segelintir pihak yang terlalu mendesak dan mahu perubahan dilakukan dengan segera, namun mereka tidak memahami realiti sebenar dan cabaran yang perlu dihadapi kerajaan.
“Sebahagian orang mahu hasil pantas, tetapi mereka tidak melihat fakta dan keadaan yang sedang kita hadapi,” katanya.
Tambah beliau, sebagai kerajaan campuran, segala pembaharuan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan berhemah, memandangkan kerjasama erat antara parti-parti komponen menjadi asas kekuatan pentadbiran.
“Kita perlu melaksanakannya secara berstrategi. Nasib baik, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi antara tunjang utama dalam mendokong agenda reformasi ini,” ujar beliau.
Namun begitu, Anwar menekankan bahawa sokongan tersebut tidak boleh dianggap remeh dan semua proses reformasi memerlukan rundingan, perbincangan serta penglibatan semua pihak yang berkepentingan.
“Jangan kita anggap mudah. Rundingan, dialog serta libat urus amat penting dalam setiap langkah pembaharuan yang kita ambil,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di ibu negara, pada Selasa.