PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik potensi kerjasama strategik dengan Poland dalam pelbagai bidang, termasuk pengembangan eksport produk seperti minyak sawit serta pembangunan industri halal yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuannya dengan Presiden Poland, Andrzej Duda dalam mesyuarat dua hala sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia turut merangkumi perbincangan mengenai sektor tenaga, termasuk teknologi hidrogen hijau, selain meninjau kekuatan Poland dalam bidang teknologi moden.
“Potensi kerjasama itu nyata wujud dan saya percaya kita harus tonjolkan keupayaan kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam sektor-sektor yang telah dibincangkan, antaranya industri halal yang dapat memanfaatkan kelebihan teknologi dan kepakaran makanan dari Poland,” katanya.
Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia dan Poland terbuka untuk memperluas hubungan jangka panjang dalam sektor pertahanan, khususnya perolehan berkaitan.
“Lawatan ini sangat kami hargai kerana ia mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Poland,” ujar beliau pada sidang media bersama Duda di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Dalam sidang media sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh potensi industri kosmetik Poland yang sedang berkembang pesat, dan melihat ia berpotensi menarik perhatian pengguna muda di Malaysia.
Selain kerjasama perdagangan dan ekonomi, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu-isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk situasi konflik di Ukraine yang terus mendapat perhatian global.
Dalam aspek perdagangan, Perdana Menteri menyambut baik peningkatan 19.5 peratus dalam nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Poland, yang dianggap sebagai perkembangan positif yang perlu diperkukuh.
Sementara itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan turut menegaskan keperluan untuk meneruskan pertukaran peringkat tinggi secara konsisten dalam pelbagai kerangka – sama ada dua hala mahupun pelbagai hala – termasuk kerjasama di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perkongsian Dialog ASEAN–Kesatuan Eropah (EU).
Kedua-dua pemimpin turut menyifatkan kerjasama ekonomi sebagai tunjang utama hubungan dua hala dan sepakat untuk memacu perdagangan yang lebih seimbang, selain mengurangkan halangan ekonomi serta memperkukuh perbincangan antara kementerian dan agensi berkaitan.
Pada masa yang sama, mereka menyatakan hasrat mempererat kerjasama antara komuniti perniagaan kedua-dua negara sebagai langkah untuk merancakkan lagi aktiviti pelaburan dan perdagangan dua hala.
Dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, kedua-dua negara bersetuju mempertingkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas negara, termasuk jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan imigresen haram.
Lawatan rasmi Duda ke Malaysia selama tiga hari yang bermula semalam merupakan lawatan sulung beliau sejak dilantik sebagai Presiden Poland pada Ogos 2015, dan dilihat sebagai titik tolak kepada hubungan dua hala yang lebih erat dan strategik.