KUALA LUMPUR: Semakan semula dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan kerajaan membuktikan komitmen terhadap sistem percukaian progresif dan adil, demi memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa meminggirkan rakyat yang paling memerlukan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam usaha Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, cukai progresif menjadi instrumen utama ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
“Pendekatan bersasar ini memastikan rakyat terus menikmati kadar cukai jualan sifar peratus bagi barangan keperluan seperti ayam, beras, sayur-sayuran, minyak masak dan ubat-ubatan.
“Malah, bahan binaan asas juga kekal dikecualikan daripada cukai, manakala perusahaan kecil yang berpendapatan di bawah paras tertentu tetap dilindungi melalui mekanisme pengecualian yang ditetapkan secara teliti,” katanya menerusi satu hantaran di akaun LinkedIn beliau, hari ini.
Pengumuman mengenai semakan bersasar kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan telah dibuat pada 9 Jun lalu, dengan pelaksanaan rasmi dijadual bermula 1 Julai 2025.
Bagi barangan keperluan harian, kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah. Bagaimanapun, barangan tidak penting akan dikenakan kadar cukai lima atau 10 peratus, bergantung kepada pertimbangan wajar kerajaan.
Dalam masa sama, skop Cukai Perkhidmatan diperluaskan meliputi perkhidmatan baharu seperti penyewaan dan pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan serta perkhidmatan kecantikan.
Menurut Amir Hamzah, langkah ini selari dengan sistem cukai yang semakin matang dan kompleks, mencerminkan nilai kemakmuran bersama serta menghalang jurang pendapatan daripada terus melebar.
“Kita menyeru golongan yang berkemampuan agar menyumbang lebih demi pembangunan negara. Oleh itu, barangan mewah dan produk premium yang diimport akan dikenakan kadar cukai sederhana.
“Begitu juga dengan pendidikan tinggi swasta dan perkhidmatan perubatan premium untuk bukan warganegara, yang turut dikenakan cukai agar hanya kelompok paling berada menyumbang bahagian mereka secara adil kepada hasil negara,” jelas beliau.
Tambahnya, segala hasil tambahan yang diperoleh kerajaan melalui peluasan SST ini akan disalurkan terus kepada inisiatif rakyat seperti Sumbangan Tunai Rakyat (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta penambahbaikan infrastruktur dan perkhidmatan awam.
“Sejak pengumuman peluasan SST dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri dan pakar percukaian. Ini bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berlaku secara bertanggungjawab dan berpaksikan keutamaan sosial.
“Mencari titik keseimbangan antara memperluas asas hasil negara dan melindungi rakyat bukan sesuatu yang mudah. Namun, langkah ini adalah satu usaha progresif ke arah sistem percukaian yang lebih adil dan mampan,” katanya.
Langkah kerajaan ini dilihat bukan sahaja menambah hasil negara secara bijak, malah mengutamakan prinsip keadilan sosial dengan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.