Saturday, 14, June, 2025
Utama Nasional PM tinjau lokasi kebakaran SM Sains Alam Shah

PM tinjau lokasi kebakaran SM Sains Alam Shah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini meluangkan masa meninjau lokasi kebakaran di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, yang menyaksikan bangunan pentadbiran sekolah itu musnah dalam kejadian awal pagi Selasa lalu.

Anwar tiba di lokasi kira-kira jam 2.25 petang, sebelum diberikan taklimat selama hampir 20 minit oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung insiden tersebut.

Turut mengiringi beliau ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri turut melawat tapak cadangan pembinaan bilik guru sementara dan beramah mesra bersama pelajar serta warga pendidik sekolah terbabit.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi Selasa lalu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kebakaran melibatkan tingkat tiga bangunan pentadbiran sekolah.

Antara ruang yang terjejas termasuk bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail, makmal, serta beberapa kemudahan lain. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com