Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Inisiatif Payung Rahmah, Jualan Agro Madani diteruskan – PM

Inisiatif Payung Rahmah, Jualan Agro Madani diteruskan – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan kekal komited meneruskan program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, program itu akan diteruskan meskipun kadar inflasi dalam negara mereda kepada dua peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun.

“Inisiatif ini diteruskan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup.

“Agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga diarahkan supaya lebih proaktif bertindak sebagai agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT) terutama bagi kawasan pedalaman.

“Ia sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 yang dihadiri timbalan perdana menteri dan anggota kementerian berkaitan serta pelbagai pihak yang juga ahli majlis NACCOL.

Katanya, dalam mesyuarat itu tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman menjurus isu berkaitan kos sara hidup dibentangkan.

“Mesyuarat berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang dilaksanakan sejak Februari 2022.

“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya mengetahui harga perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan.

“Menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga.

“Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan oleh kementerian bertanggungjawab sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Berkenaan kemungkinan gangguan bekalan gula jika tiada tindakan segera dilaksana susulan peningkatan harga gula mentah dunia, beliau berkata, perkara itu akan dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Mesyuarat turut mengambil maklum perancangan serta pelaksanaan Pangkalan Data Utama Kerajaan (PADU) oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com