TAIPING: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini meluangkan masa menziarahi empat penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih menerima rawatan susulan nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lalu.
Ketibaan Dr Wan Azizah kira-kira jam 10.25 pagi disambut isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin serta Pengarah Hospital Taiping, Dr Khuzaini Abd Karim.
Beliau dibawa ke wad untuk menziarahi tiga penuntut wanita dan seorang lelaki yang sedang dirawat, selain meluangkan masa hampir satu jam bagi bertanya khabar serta memberikan sokongan moral kepada mangsa dan ahli keluarga yang menemani mereka.
Dalam lawatan itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada keempat-empat mangsa sebagai tanda keprihatinan.
Terdahulu, dalam insiden tragis yang berlaku pada Isnin lalu, seramai 15 penuntut UPSI terkorban apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak, terbalik selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza di laluan berkenaan.
Selain itu, seramai 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.