KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi menubuhkan pasukan dan Akademi Sepak Takraw dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan warisan negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan akademi tersebut dijangka direalisasikan menjelang hujung tahun ini, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pasukan sepak takraw negara di pelbagai peringkat termasuk antarabangsa.
“Sepak takraw telah menunjukkan prestasi yang membanggakan, bukan hanya di peringkat rantau tetapi juga dunia. Ia mendapat tempat di hati rakyat baik di bandar mahupun desa…hampir setiap kampung ada pasukannya.
“Kita perlu terus hidupkan semangat ini kerana sepak takraw juga mencerminkan elemen seni dan budaya kita. Jadi saya bersetuju untuk mempercepatkan kelulusan akademi sepak takraw ini,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah mengemukakan permohonan sebanyak RM6 juta untuk tujuan tersebut, dan kerajaan akan meneliti cadangan itu agar ia dapat diluluskan segera.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Majlis Belia Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan kepada badan itu kini RM4 juta.
Sementara itu, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa permohonan peruntukan RM6 juta tersebut adalah bagi kerja-kerja naik taraf fasiliti sedia ada yang terletak di tanah milik Kementerian Belia dan Sukan, iaitu di bawah pengurusan Institut Sukan Negara.
“Kita telah memberi pajakan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia, dan tempat itu akan dinaik taraf sepenuhnya menjadi sebuah akademi sepak takraw.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap pembangunan sukan tradisi yang amat dekat dengan hati rakyat Malaysia,” katanya.