Sunday, 15, June, 2025
Utama Nasional HAWANA 2025 himpun lebih 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa

HAWANA 2025 himpun lebih 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini sempena kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Majlis berprestij itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka WTCKL pada jam 12 tengah hari. Antara yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Zaliha Mustafa serta Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Turut memeriahkan acara ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; serta Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, Arul Rajoo Durar Raj.

HAWANA 2025, yang bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, menghimpunkan organisasi media antarabangsa seperti Al Jazeera, China Central Television (CCTV), Jiji Press, Kuwait News Agency (KUNA), Vietnam News Agency (VNA), The Jakarta Post dan MediaCorp.

Majlis anjuran Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan tanah air sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.

Perdana Menteri juga akan menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga wartawan veteran yang sedang berdepan masalah kesihatan, sebagai simbol keprihatinan terhadap kebajikan warga media yang pernah menyumbang kepada industri.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang diadakan pada 31 Mei lalu, dengan pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta piala dan sijil penghargaan.

Sambutan yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini merangkumi pelbagai program khusus buat pengamal media serta pemain industri termasuk acara sukan media yang menampilkan permainan tradisional.

Selain itu, siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak dan Johor turut diadakan bagi menyemai minat generasi muda terhadap bidang kewartawanan dan dunia media.

Seiring dengan temanya, satu tayangan Mini Dokumentari HAWANA yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) hasil produksi Bernama TV akan ditayangkan dalam majlis kemuncak hari ini.

Sebelum itu, Forum HAWANA 2025 yang bermula jam 9 pagi di Dewan Tun Hussein Onn akan membincangkan topik “Majlis Media Malaysia: Regulator atau Pelindung Media?”, disusuli sesi bertajuk “AI Media: Tool, Threat or Opportunity?”.

Forum anjuran bersama Bernama dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu juga menjadi platform penting buat Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (MMM) menyatakan hala tuju industri susulan kelulusan Rang Undang-Undang MMM 2024 di Parlimen pada Februari lalu.

Di Sunway Putra Mall pula, Karnival HAWANA 2025 memasuki hari kedua dengan pelbagai aktiviti seperti sesi bual santai bersama agensi, forum, bengkel, kuiz, persembahan artis serta aktiviti mewarna dan temu mesra bersama selebriti dan pengamal media.

Pengunjung juga berpeluang merasai suasana dunia penyiaran secara langsung melalui reruai interaktif oleh RTM, Media Prima, Astro dan TV AlHijrah serta siaran lintas langsung Studio Mini HAWANA oleh Bernama TV.

Antara tarikan lain termasuk permainan interaktif “Breaking News” oleh Bernama Radio dan pameran Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sebagai penghormatan terhadap sejarah kewartawanan negara, tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sambutan HAWANA 2025 turut mendapat kerjasama hampir 100 rakan strategik dari pelbagai sektor.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com