Sunday, 19, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan umum peruntukan RM100 juta untuk agensi penguatkuasaan

Kerajaan umum peruntukan RM100 juta untuk agensi penguatkuasaan

oleh admin

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada semua agensi penguatkuasaan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu untuk diagihkan kepada semua agensi penguat kuasa bagi tujuan perbelanjaan, termasuk mengukuhkan kelengkapan dan untuk menyokong operasi penguatkuasaan.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Program Cakna MADANI Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

“Jadi saya setuju untuk tahun ini, enam bulan ini kita peruntukkan RM100 juta untuk semua ini membantu mereka melengkapkan apa saja keperluan di pejabat atau jabatan mereka,” ujar beliau.

Perdana Menteri berharap peruntukan tersebut diagihkan kepada semua agensi penguat kuasa pada kadar segera selewat-lewatnya akhir minggu depan.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta setahun menambah baik Elaun Pakaian Seragam Kumpulan Pengurusan dan Profesional enam agensi penguat kuasa.

Penambahbaikan itu adalah untuk enam agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Penambahbaikan ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun,” katanya.

Di majlis itu Anwar turut memberi jaminan aspek keselamatan, kebajikan anggota penguat kuasa diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com