Foto Jabatan Siasatan Jenayah Komersil – JSJK PDRM
PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tampil memperjelaskan bahawa inisiatif data telefon bimbit (Mobile Phone Data – MPD) bukan bertujuan memantau rakyat secara individu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin menegaskan, MPD dibangunkan berasaskan teknologi data raya (big data) yang diproses secara agregat dan telah dinyah identiti sepenuhnya, tanpa mengandungi sebarang maklumat peribadi pengguna.
“Inisiatif ini digunakan bagi mendapatkan pandangan makro tentang pola mobiliti penduduk, dan ia penting untuk membantu perancangan pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik melalui FMT.
Menambah kredibiliti, Zurkarnain menjelaskan bahawa MPD turut diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sumber utama data raya dalam memperkukuh statistik global.
“PBB telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Data Telefon Bimbit yang melibatkan lebih 50 ahli termasuk Malaysia, bagi meneroka penyelesaian data inovatif dalam memahami cabaran sosial semasa,” jelasnya.
Antara negara lain yang turut serta dalam pasukan tersebut ialah Jepun, Brazil, Itali, Mexico, Arab Saudi dan Indonesia.
SKMM turut menolak keras dakwaan segelintir pihak termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menyifatkan pengumpulan data oleh syarikat telekomunikasi sebagai langkah menceroboh privasi.
Zurkarnain menegaskan bahawa data berkenaan dijana secara automatik apabila peranti mudah alih berinteraksi dengan menara pemancar, dan diproses serta dinyah identiti di peringkat syarikat telekomunikasi sebelum disalurkan kepada Jabatan Perangkaan (DOSM) dan SKMM.
“Tiada sebarang pemindahan data mentah atau maklumat pengguna dilakukan di luar premis pengendali rangkaian mudah alih (MNO),” katanya lagi.
Menurut beliau, MPD masih berada di peringkat awal pelaksanaan dan pihak DOSM akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi memberi penerangan lanjut.
Katanya lagi, usaha ke arah membangunkan sumber data rasmi yang lebih tepat dan terkini mampu memperkukuh dasar awam dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan negara.
“Inisiatif ini tidak akan berjaya jika ia terus dibelenggu salah faham dan ketakutan yang tidak berasas,” tegasnya.
Kefahaman jelas tentang penggunaan data dan jaminan keselamatan maklumat adalah kunci kepada penerimaan awam terhadap dasar berasaskan teknologi.