Friday, 10, May, 2024
Utama Nasional Malaysia sedia hantar sukarelawan tapi perlu persetujuan negara Arab

Malaysia sedia hantar sukarelawan tapi perlu persetujuan negara Arab

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menghantar pasukan sukarelawan ke Gaza dalam tempoh gencatan senjata antara Israel-Hamas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri walau bagaimanapun berkata, langkah itu perlu tertakluk kepada persetujuan antara negara-negara Arab dan sekitar Palestin.

“Ia (keputusan hantar pasukan sukarela) terserah kepada keputusan bersama. Kita terbuka nak hantar apa pun dan kita setuju.

“Cuma ia tertakluk kepada persetujuan kita dengan negara-negara Arab dan negara Islam terutama jiran di sekitar Palestin,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Furqan, Presint 11, di sini, pada Jumaat.

Anwar berkata, gencatan senjata selama empat hari bermula hari ini amat melegakan penduduk, namun perlu berhati-hati kerana Palestin berdepan rejim yang ganas dan ia dilihat membimbangkan.

Selepas hampir tujuh minggu perang, Israel dan Hamas hari ini memulakan gencatan senjata selama empat hari dengan kumpulan pejuang Islam itu bersedia membebaskan 13 wanita dan kanak-kanak Israel.

Gencatan senjata sementara itu juga akan membolehkan bantuan memasuki wilayah Gaza yang terkepung.

Gencatan senjata bermula pukul 7 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), melibatkan gencatan senjata menyeluruh di utara dan selatan Gaza, dan akan diikuti dengan pembebasan lebih 200 tebusan yang diambil oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober lalu, kata pengantara di Qatar.

Sebilangan tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel juga akan dibebaskan sebagai pertukaran.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com