Tuesday, 17, June, 2025
Utama Nasional PM ucap selamat maju jaya kepada Rafizi, Kementerian Ekonomi kekal

PM ucap selamat maju jaya kepada Rafizi, Kementerian Ekonomi kekal

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 28 Mei lalu dan telah mengosongkan pejabatnya di Putrajaya pada 13 Jun.

Anwar berkata, beliau akan menentukan masa yang sesuai bagi mana-mana menteri atau kementerian mengambil alih tanggungjawab selaku Menteri Ekonomi.

“Saya ucap selamat maju jaya kepada saudara Rafizi Ramli yang telah berkhidmat dengan begitu baik sebagai Menteri Ekonomi. Kini saya akan putuskan waktunya untuk mana-mana menteri atau kementerian melaksanakan tugas itu,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi tidak akan dibubarkan atau dikembalikan sebagai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Tidak… tiada isu dan tiada masalah. Kita harus ‘move on’,” ujarnya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, Anwar masih membuka ruang kepada Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk mempertimbang semula keputusan meletakkan jawatan, memandangkan tempoh cuti mereka masih belum berakhir.

“Saya selalu beri peluang… bagi masa untuk fikir dan renung. Saya dah beri pandangan, kalau boleh, teruskan khidmat. Buat apa nak suruh terima? Mereka masih bercuti dan tarikh belum sampai. Mereka berkhidmat dengan baik,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua menteri itu dijangka menamatkan cuti dan peletakan jawatan mereka hanya akan berkuat kuasa selepas Julai ini. Mereka sebelum ini tewas dalam pemilihan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan kini sedang meneliti dan menyemak semula angka serta unjuran dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), susulan perubahan landskap ekonomi global dan pelaksanaan tarif import baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada April lalu.

“RMK adalah tanggungjawab Jemaah Menteri secara keseluruhan. Banyak perubahan berlaku, terutama dalam senario ekonomi semasa. Dengan tarif baharu, banyak angka dan unjuran perlu disesuaikan. Minggu lalu kita telah bermesyuarat dengan kementerian untuk mendengar penyesuaian serta dasar baharu yang akan diterapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com