Tuesday, 17, June, 2025
Utama Nasional Lebih 220,000 hadir PMR 2025 Perak, bukti sambutan rakyat terhadap Agenda MADANI

Lebih 220,000 hadir PMR 2025 Perak, bukti sambutan rakyat terhadap Agenda MADANI

oleh Ammar Haziq

LUMUT:Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak yang berlangsung selama tiga hari di Lumut Waterfront mencatat kehadiran luar biasa apabila seramai 222,962 pengunjung hadir, sekali gus membuktikan sambutan rakyat terhadap usaha kerajaan merakyatkan perkhidmatan awam.

Acara yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun itu menunjukkan peningkatan jumlah kehadiran harian, bermula dengan 45,175 orang pada hari pertama, diikuti 77,284 orang keesokannya, dan melonjak kepada 100,503 orang pada hari terakhir.

Penganjuran di Perak menjadi lokasi ketiga dalam siri PMR 2025 selepas Sabah dan Johor, kali ini melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku kementerian peneraju dan kerajaan negeri Perak sebagai tuan rumah, disokong oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.

Majlis perasmian PMR 2025 Perak telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Pelbagai inisiatif menarik turut ditawarkan sepanjang program berlangsung, antaranya servis asas motosikal percuma, penanaman anak pokok bakau, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Pengajar Universiti (HPU), serta program pembersihan pantai bersama pelajar antarabangsa.

KPT dalam pada itu turut memperkenalkan inovasi teknologi baharu dikenali sebagai AIMI (AI Menyantuni Insan), satu aplikasi kecerdasan buatan yang dibangunkan khusus untuk tujuan kaunseling dan kesejahteraan mental warga institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menurut Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, pengenalan AIMI di PMR kali ini bertujuan mendapatkan maklum balas awam dalam usaha memperkasa teknologi tempatan yang mampu memahami emosi pengguna melalui analisis riak wajah.

“Kita sedang kumpul data untuk memperkukuh keupayaan AIMI dan sasaran kita ialah melancarkannya secara rasmi semasa Festival Idea Putrajaya pada November ini,” katanya.

Tambah beliau, sistem ini kini mampu mengesan emosi seperti sedih, kecewa atau gembira, dan memberikan respons bersesuaian. AIMI dibangunkan sebagai alat intervensi awal dalam menangani isu kesihatan mental yang semakin mencabar dalam kalangan masyarakat.

“KPT menyasarkan untuk membina AI yang benar-benar memahami keperluan rakyat dan boleh menyumbang kepada penyelesaian isu sebenar dalam komuniti,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kolej Komuniti di Perak turut memainkan peranan aktif sepanjang penganjuran PMR dengan menyelenggara sekitar 550 motosikal milik pengunjung melalui khidmat pemeriksaan percuma.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Bagan Datuk, Raja Ahmad Syawal Raja Musa, program ini bukan sahaja membantu masyarakat secara langsung, malah memperkenalkan peranan kolej komuniti kepada masyarakat setempat.

Penganjuran PMR 2025 Perak dilihat berjaya mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui pendekatan mendekati komuniti serta memperkenalkan pelbagai perkhidmatan awam secara terus kepada masyarakat akar umbi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com