KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila kedudukannya dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 melonjak 11 anak tangga, daripada tempat ke-34 ke kedudukan ke-23, menandakan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyifatkan peningkatan ini sebagai sesuatu yang jarang berlaku dan menunjukkan keyakinan pelabur serta kejayaan dasar ekonomi kerajaan.
“Tahun lalu, Malaysia jatuh tujuh tangga, tetapi kini bukan sahaja pulih, malah lebih baik daripada sebelumnya. Ini membuktikan struktur ekonomi negara berada di landasan yang tepat,” katanya.
Lonjakan ini disokong oleh beberapa faktor utama, termasuk dasar fiskal berhati-hati, pelaksanaan subsidi bersasar, serta peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara.
Penyelarasan semula subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan juga mula menunjukkan kesan positif dalam memperkukuh struktur ekonomi, sekaligus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, pencapaian ini merupakan yang terbaik sejak 2020 dan mencerminkan momentum ekonomi Malaysia yang terus mengukuh.
“Kedudukan terbaru ini adalah hasil daripada usaha pembaharuan berterusan, dan ia mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033,” katanya.
Walaupun Malaysia mencatat peningkatan dalam daya saing global, kesannya kepada rakyat masih belum sepenuhnya dirasai. Namun, dalam jangka sederhana, rakyat dijangka melihat perubahan melalui peningkatan peluang pekerjaan serta kenaikan gaji sektor swasta yang dijangka seiring dengan prestasi ekonomi dan sentimen pasaran yang lebih positif.
Lonjakan penarafan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur, tetapi juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pelaburan serta aktiviti perniagaan yang lebih aktif.
Dengan momentum positif ini, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran daya saing yang lebih tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.