KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak agar menyiasat dakwaan bahawa Muhammad Yusoff Rawther bertindak sebagai proksi atau ejen kepada agensi perisikan Israel, Mossad.
Desakan itu dibuat oleh Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan kenyataan terbuka Yusoff pada tahun 2017 yang didakwa menyokong kewujudan negara Israel serta menolak hak negara-negara Arab ke atas Baitulmaqdis.
Menurut mereka, perkara ini adalah satu pendirian yang bercanggah dengan dasar rasmi Malaysia.
Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol, berkata kenyataan tersebut bukan sahaja berpotensi menggugat kepentingan negara, malah memberi ruang kepada kemungkinan pengaruh asing dalam arena politik tempatan.
“Kami hadir membuat laporan polis kerana isu ini melibatkan kepentingan nasional dan tidak boleh dipandang remeh.
“Adakah beliau bertindak sebagai ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam negara untuk membawa agenda tertentu? PDRM perlu menyiasat segera,” katanya dalam sidang media sebelum laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.
Menurut beliau, Malaysia secara konsisten menolak pengiktirafan terhadap Israel berikutan jenayah kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Oleh itu, sebarang sokongan kepada negara tersebut dilihat bertentangan dengan pendirian majoriti rakyat Malaysia.
“Lebih membimbangkan apabila masih ada pemimpin politik dan peguam yang tampil membela beliau. Ini memberi gambaran seolah-olah kenyataan Yusoff tidak menjadi satu isu besar,” tambahnya.
Sementara itu, peguam NGO yang turut hadir, Asheeq Ali Sethi Alivi, menasihati Yusoff agar tidak membiarkan dirinya dipergunakan oleh mana-mana kuasa luar.
“Kalau benar apa yang anda perjuangkan, berdirilah atas kaki sendiri. Jangan jadi alat kepada negara yang menindas dan membunuh rakyat Palestin,” katanya.
Enam NGO hadir bagi membuat laporan polis terhadap Yusoff, menegaskan bahawa tindakan mereka bukan bermotifkan fitnah tetapi untuk mempertahankan kedaulatan negara dan sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu Palestin.
“Kita tidak boleh berdiam diri jika benar Yusoff bertindak sebagai ejen Mossad. PDRM perlu bertindak segera,” tegasnya.
Dengan laporan polis telah dibuat, perkembangan lanjut mengenai tindakan PDRM terhadap dakwaan ini bakal menjadi tumpuan orang ramai dalam waktu terdekat.