KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dijangka membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran pada Jumaat susulan situasi keselamatan di negara itu yang semakin tidak menentu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa perkara tersebut telah dibentangkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.
“Segala persiapan, termasuk visa, telah dimuktamadkan dan insya-Allah mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini, dijangka pada 20 Jun,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya, pada Rabu.
Tambah Fahmi, jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar di Iran tidak terlalu ramai, namun kerajaan telah menggerakkan usaha bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Menteri Luar telah memberikan sedikit perkembangan kepada Jemaah Menteri tentang situasi ini. Walaupun jumlah rakyat Malaysia sama ada kakitangan kedutaan, pelajar atau pelancong di Iran tidak terlalu besar, mereka telah digerakkan untuk keluar dari negara itu,” katanya.
Bagaimanapun, Fahmi enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai strategi pemindahan atas faktor keselamatan.
Kementerian Luar sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan menasihati rakyat Malaysia agar meninggalkan Iran dengan serta-merta menggunakan kaedah yang paling selamat dan tersedia.
Menurut kenyataan itu, keadaan keselamatan di Iran kini sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
“Kementerian ini memberi keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia,” katanya.
Kedutaan Besar Malaysia di Tehran turut memantau perkembangan keselamatan secara rapi bagi memastikan rakyat Malaysia yang masih berada di Iran mendapat bantuan sewajarnya.
Dalam kes kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran melalui talian +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602, atau menghantar e-mel ke mwtehran@kln.gov.my atau mwconsular.teh@gmail.com.