Wednesday, 25, June, 2025
Utama Nasional Bersama perkasakan wanita, bukan hanya berkata-kata : Wan Azizah

Bersama perkasakan wanita, bukan hanya berkata-kata : Wan Azizah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasakan wanita tidak boleh hanya bergantung kepada ucapan dan retorik semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit yang menyatukan pelbagai pihak ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Itu antara intipati utama ucaptama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 bertemakan “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy” yang berlangsung di ibu negara.

“Saya amat berbesar hati berpeluang bersama wanita yang hebat seperti anda semua. Visi, ketulusan dan dedikasi anda dalam mencipta perubahan bukan sahaja mengagumkan, malah mencetuskan kesedaran tentang apa yang boleh kita capai bersama-sama,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, meskipun forum ini berlandaskan perspektif global, ia kekal sebagai satu bentuk diplomasi awam yang tidak berasaskan keuntungan, tetapi membawa misi penting – memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan mampan, teknologi, tadbir urus dan perdagangan.

Dalam ucapannya, beliau memperkenalkan istilah Sheconomy, iaitu satu pengiktirafan terhadap pengaruh wanita yang semakin ketara dalam membentuk hala tuju ekonomi dunia.

Menurutnya, gerakan ini bukan sekadar mengangkat suara wanita, tetapi membina naratif ekonomi yang inklusif dengan memberi ruang kepada pemimpin wanita untuk menyumbang secara aktif merentas sektor dan sempadan negara.

Dalam dunia yang semakin berteknologi, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan sosial, terutama kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas.

“Tanpa pemantauan dan kesedaran kendiri, teknologi boleh menjejaskan nilai hubungan, bahkan membawa kepada pemencilan dan penderaan,” ujarnya sambil menekankan pentingnya keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan keluarga.

Tambah beliau, tanggungjawab menjaga keluarga perlu dilihat sebagai tugas bersama dan tidak harus dinilai hanya dari sudut kewangan kerana sokongan emosi, kerja tidak berbayar dan pengurusan rumah tangga turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi masyarakat.

Berkongsi pandangan sebagai seorang ibu dan isteri, Dr Wan Azizah mengingatkan bahawa dalam mengejar cita-cita, masyarakat tidak boleh mengabaikan keperluan emosi dan kasih sayang dalam keluarga.

“Adakalanya kita terlupa. Kita sering mengambil mudah tanggungjawab menjaga keluarga kita. Marilah kita bertekad untuk membina dunia yang menyaksikan gender bukan lagi penghalang kepada kejayaan, dan setiap wanita berhak untuk bersinar,” katanya penuh semangat.

Forum tiga hari itu menghimpunkan pemimpin wanita dari seluruh rantau ASEAN untuk berbincang, berkongsi pengalaman dan membentuk jaringan kerjasama bagi mengangkat peranan wanita dalam ekonomi global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com