Wednesday, 25, June, 2025
Utama Nasional Serangan Israel ke atas Iran tindakan ‘punitif tanpa provokasi’ – PM

Serangan Israel ke atas Iran tindakan ‘punitif tanpa provokasi’ – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan udara Israel ke atas wilayah Iran baru-baru ini sebagai satu tindakan “punitif tanpa provokasi” yang mencabuli undang-undang antarabangsa serta menggagalkan usaha diplomatik ke arah keamanan serantau.

Tegas beliau, tindakan seumpama itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan global, bahkan menghakis norma undang-undang yang menjadi tunjang kepada ketertiban dunia.

“Serangan ini jelas dilakukan tanpa provokasi dan bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung. Ia mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang perlu ditegur secara tegas oleh kuasa-kuasa besar dunia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-38 di ibu negara, pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza, menyifatkannya sebagai tragedi yang membawa kesengsaraan amat dahsyat kepada penduduk awam, khususnya wanita dan kanak-kanak.

“Jumlah korban yang tinggi menuntut lebih daripada sekadar pernyataan simpati. Dunia perlu bertindak secara bersepadu untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan,” katanya penuh ketegasan.

Anwar memberi amaran bahawa kredibiliti sistem dunia yang berasaskan undang-undang kini sedang diuji. Menurutnya, jika masyarakat antarabangsa terus berdiam diri, ia hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak pencabulan dan konflik berskala besar.

“Ketika norma antarabangsa semakin dicabar, kita mesti bersatu mempertahankan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyentuh ketegangan yang wujud di rantau Asia Pasifik, termasuk isu Selat Taiwan, Semenanjung Korea dan Laut China Selatan. Katanya, pendekatan berhemah dan dialog perlu menjadi keutamaan berbanding pembentukan blok keras atau keseimbangan kuasa yang rapuh.

“Kita tidak perlu membentuk rantau ini mengikut kehendak idealisme kita sendiri, tetapi kita mampu mencegah hasil paling buruk jika kita bijak mengurus ketegangan, menyeimbangkan hubungan, dan mempertahankan kepentingan bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com