KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhubung rancangan tarif timbal balas yang dicadangkan Washington ketika ini berlangsung dalam suasana yang amat positif.
Perkara itu disampaikan sendiri oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-38 di ibu negara pada Khamis.
“Saya menerima mesej daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang kini berada di Amerika Syarikat.
“Mereka memaklumkan bahawa pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS yang sememangnya sangat sibuk, berlangsung dengan amat baik,” katanya.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kepentingan perdagangan Malaysia dilindungi susulan cadangan AS untuk mengenakan tarif balas terhadap beberapa negara, termasuk Malaysia.
Sementara itu, Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik yang berlangsung menghimpunkan pemimpin serantau, ahli akademik dan penggiat industri bagi membincangkan isu-isu global serta cabaran ekonomi masa depan.