Wednesday, 25, June, 2025
Utama Gaya HidupMakanan Jabatan Kerajaan diarah henti guna barangan import dalam acara rasmi

Jabatan Kerajaan diarah henti guna barangan import dalam acara rasmi

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Semua jabatan kerajaan diarah menghentikan penggunaan barangan import, khususnya dalam acara rasmi, sebagai usaha menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan memperluas peluang kepada petani serta pengusaha tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu selari dengan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan import serta komitmen kerajaan memartabatkan produk tempatan.

“Makanlah buah tempatan. Perbendaharaan dah keluarkan arahan, tiada lagi buah import dalam acara rasmi.

“Jika semua jabatan patuhi arahan ini, petani akan ada lebih banyak ruang pasaran untuk hasil mereka,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, Jumaat lalu.

Menurut Anwar, amalan seumpama itu sudah menjadi kebiasaan di beberapa negara serantau seperti Laos, Vietnam dan Thailand yang menghidangkan makanan tempatan sepenuhnya dalam acara rasmi.

“Di sana, secara automatik tiada bahan import digunakan. Tapi kita di sini, kadang-kadang saya tengok ada hidangan ikan kod di Seri Perdana. Saya kata, tak perlu… bagi ikan keli pun tak apa. Saya sendiri suka ikan keli.

“Kalau nak makan ikan kod, makan secara peribadi. Tapi dalam acara rasmi, beri keutamaan pada hasil tempatan,” tambah beliau.

Langkah ini turut membawa mesej jelas bahawa sektor awam harus menjadi contoh dalam menyokong pembangunan ekonomi domestik, selaras dengan prinsip Ekonomi Madani yang berteraskan ihsan, kelestarian dan kesejahteraan bersama.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com