Wednesday, 1, May, 2024
Utama Gaya HidupMakanan Malaysia sasar tingkat keupayaan industri halal-PM

Malaysia sasar tingkat keupayaan industri halal-PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan meletakkan sasaran untuk meningkatkan lagi keupayaan industri halal dalam dan luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini disebabkan negara-negara seperti China, Vietnam, Laos, Kemboja, Jepun dan Korea Selatan serta negara-negara lain sering membicarakan soal industri halal ketika kunjungan beliau ke negara-negara berkenaan.

Beliau menyifatkan, ia kerugian besar jika industri halal tidak diberi perhatian sepenuhnya walaupun diiktiraf oleh negara-negara asing.

“Industri halal negara telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sijil halal diiktiraf sebagai berkualiti tinggi jadi kita perlu menggunakan sepenuhnya peluang ini bukan sahaja dalam soal pensijilan tapi juga dalam soal perkembangan industri.

“Jadi, pensijilan halal perlu dipastikan bukan sahaja halal dari segi memuaskan tetapi kelulusan lebih efisien dan cepat kerana isu ini kritikal kerana ia harus halal dan efisien,” katanya ketika merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.

Bagaimanapun, kata Anwar, walaupun pensijilan halal mendapat pengiktirafan tinggi, ia harus diangkat lagi supaya menjadi contoh dari segi kecekapan, penyelidikan yang bermutu dan keupayaan memberi kelulusan halal tanpa karenah birokrasi.

“Sebab itu, saya katakan sinergi antara pensijilan dan promosi perdagangan perniagaan itu penting,” katanya.

Pada masa masa, beliau menyeru supaya industri halal turut memberi ruang bagi industri tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kalau halal tapi kita tak beri peluang kepada peniaga kecil dan menengah dari Tanjong Karang ke Manik Urai supaya dapat perkenal industri mereka, kita belum dapat mengatakan bahawa kita memberikan upaya dan alternatif ekonomi Islam yang membanggakan,” katanya.

Sebab itu, beliau meminta supaya semua agensi, jabatan dan kementerian bekerjasama dalam membangunkan industri halal.

“Sekarang ini pendekatan kita tidak lagi silo, mesti ada kaitan dan sinergi semua agensi dan jabatan berkaitan. Kita kadangkala rasa berpuas hati dan bersyukur dan terima kasih dengan kejayaan yang dicapai tapi kalau negara mahu melonjak ke atas, cara bekerja, sasaran mesti berubah, tak boleh kaedah lama.

“Sinergi antara badan tak kira kementerian dan jabatan mesti diselaras, kita ada sasaran untuk industri halal bagi negara dan semua harus bersama dan bersatu,” katanya.

Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk menyelaraskan soal industri halal melalui penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Penekanannya mesti soal PMKS turut diberi ruang kepada semua dan memberi peluang kepada PKS bertapak dengan bantuan kerajaan, ini sebabnya penyelarasan penting,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut mengusulkan cadangan kepada negara-negara asing supaya pengeluaran sijil halal diselarikan dengan pelbagai industri lain iaitu produk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan dan pengilangan kontrak.

“Ini semua harus diselarikan dengan pensijilan halal menerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) khususnya kerana ada pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.

“Kalau tidak, kita akan hanya perkenalkan meluluskan pensijilan halal tapi tidak mengembangkan industri halal di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com