Tuesday, 24, June, 2025
Utama Ekonomi Pembangkang ‘senyap-sunyi’ bila ringgit terus mengukuh – PM

Pembangkang ‘senyap-sunyi’ bila ringgit terus mengukuh – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengukuhan ketara Ringgit Malaysia ketika ini sebagai bukti kukuh keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dan keberkesanan pelaksanaan reformasi di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Menurut beliau, ringgit telah mengukuh sebanyak 5.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat setakat 18 Jun lalu, sekaligus mengatasi prestasi beberapa mata wang serantau seperti rupiah Indonesia (6.3 peratus), renminbi China (3.6 peratus), peso Filipina (3.2 peratus), dolar Australia (0.6 peratus) dan baht Thailand (0.1 peratus).

Katanya, pencapaian itu perlu diberi perhatian lebih adil oleh pihak-pihak tertentu, khususnya pembangkang yang sebelum ini lantang mengkritik ketika ringgit menunjukkan kelemahan.

“Bila ringgit kita turun, mereka hentam saya macam-macam – gagal, tak layak, mesti turun. Sekarang ringgit naik, senyap sunyi pula. Kalau dulu bila lemah saya perlu letak jawatan, sekarang kuat semula, takkan saya perlu naik lebih tinggi pula?

“Itulah logik yang tak masuk akal. Tetapi saya dan pasukan tetap fokus, kita tidak tinggal dasar. Kita konsisten dengan kerangka Ekonomi Madani,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Kementerian Kewangan di sini, Jumaat lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan bahawa kerajaan berjaya mengawal pertumbuhan hutang negara secara berkesan melalui pengurusan fiskal yang telus dan berdisiplin.

Menurut beliau, jumlah hutang baharu negara menurun daripada RM100 bilion pada tahun 2022 kepada RM85 bilion pada 2024, dan dijangka terus turun kepada RM80 bilion pada tahun ini.

“Ini bermakna kita telah berjaya mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dengan nilai penurunan sebanyak RM20 bilion dalam tempoh tiga tahun,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan kekal komited dalam melaksanakan langkah-langkah ekonomi yang progresif, meskipun terpaksa berdepan dengan kritikan tidak seimbang yang hanya menumpukan kepada kelemahan sementara.

“Cabaran itu sentiasa ada, tetapi kita berusaha dengan sedaya upaya. Bila ada kejayaan, jangan pula kita terlalu diam. Negara ini milik bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com