Tuesday, 24, June, 2025
Utama Negeri Ranking Universiti Dunia: UUM Lonjak Ke Tangga 491

Ranking Universiti Dunia: UUM Lonjak Ke Tangga 491

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengharumkan nama negara apabila berjaya melonjak ke kedudukan ke-491 dunia dalam penarafan QS World University Rankings (WUR) 2026, berbanding tangga ke-554 yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Kejayaan ini menyaksikan peningkatan sebanyak 63 anak tangga dan meletakkan UUM sebagai universiti awam terbaik ke-6 negara, satu pencapaian membanggakan bagi universiti yang tidak berstatus penyelidikan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti iltizam warga universiti dalam memperkukuh pengajaran, mempergiat penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas jaringan kerjasama global.

“Ini merupakan hasil kerja keras dan komitmen berterusan yang selari dengan Pelan Strategik UUM dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi. Kita bukan sahaja ingin mencipta kecemerlangan, tetapi juga kekal relevan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, reputasi UUM turut dipacu oleh keyakinan majikan terhadap graduan yang berkualiti serta peranan alumni yang berfungsi sebagai duta tidak rasmi universiti di arena global.

Tambahnya, kerjasama aktif dengan penyelidik tempatan dan antarabangsa turut membantu memperkaya landskap akademik, di samping menyumbang kepada pertambahan penerbitan ilmiah yang diiktiraf.

“Lonjakan ini juga membuktikan bahawa universiti bukan penyelidikan masih mampu bersaing dan mencipta nama jika diberikan ruang dan sokongan sewajarnya,” ujarnya lagi.

UUM komited untuk terus memperkukuh bidang akademik, menambah baik kebolehpasaran graduan serta memperluaskan jaringan global sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kelestarian kecemerlangan pada masa akan datang.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa usaha konsisten, penyelarasan strategik dan sokongan menyeluruh mampu menjulang nama institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com