Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri UUM pilihan pertama enam pasangan kembar

UUM pilihan pertama enam pasangan kembar

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Enam pasangan kembar cemerlang membuat pilihan pertama melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kemasukan sesi 2023/2024, semalam.

Pasangan kembar berusia 19 tahun dari Alor Setar iaitu Nurin Najla Izhan dan Nurin Najma Izhan yang merupakan lepasan Kolej Matrikulasi Kedah dengan CGPA 4.0 memilih program Sarjana Muda Perakaunan di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz.

“Kami mengharapkan untuk sambung belajar ke UUM kerana mempunyai minat dalam bidang perakaunan semenjak di bangku sekolah lagi, perasaan menjadi sangat teruja apabila terpilih ke UUM, tambahan pula persaingan begitu sengit untuk mendapat tempat bagi program pengajian ini.

“Program perakaunan menjadi pilihan pertama ketika mengisi UPUOnline dan kami berasa syukur kerana dapat mengejar cita-cita di universiti, selain jarak dari rumah juga tidak jauh,” kata Nurin Najla dan Nurin Najma.

Satu lagi pasangan yang membuat pilihan pertama untuk belajar di UUM ialah Nur Alina Khirruddin dan Nur Aliza Khirruddin yang mengikuti program Sarjana Muda Logistik.

Pasangan kembar yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Cempedak, Yan tidak sangka pilihan pertama mereka untuk ke UUM menjadi kenyataan.

Pasangan lepasan Diploma Politeknik Syed Sirajudin, Perlis iaitu Ainun Sakinah Mohd Khairil dan Ainun Shakirah Mohd Khairil, 21, pula memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pengurusan Acara.

Pasangan kembar lain yang turut mendaftar di UUM termasuklah Azfar Haruya Amir Syahrul dan Malikah Asna Amir Syahrul, 19, yang merupakan kembar tidak seiras.

Kedua mereka adalah lepasan Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak memilih bidang perakaunan sepanjang tempoh pengajian di sini.

Begitu juga Nureen Farahanie Mohd Nizam dan Nureen Farahanis, 21, dari Rawang, Selangor di mana kedua-duanya memilih program pengajian sama iaitu Sarjana Muda Pentadbiran.

Siti Rohayu Ma’song dan Siti Rohana Ma’song, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Mas, Kelantan memilih pengajian dalam bidang kaunseling.

Kesemua pasangan kembar bersama tujuh pelajar Orang Asli antara pelajar yang mewarnai kemasukan pelajar baharu UUM berjumlah 3,879 pelajar.

Sementara itu, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Oh Qian Qian, 20, menyatakan keputusan beliau untuk belajar di UUM adalah tepat.

“Saya mencari maklumat tentang fasiliti di UUM untuk pelajar OKU hanya melalui internet sahaja, selain yakin dengan kemudahan yang disediakan universiti ini.

“Ketidakupayaan penglihatan ini bukan halangan untuk saya meneruskan mengejar impian. Saya akan menggunakan peluang dan kemudahan disediakan untuk belajar termasuk berada di tempat duduk hadapan serta sering bertanya kepada rakan sekelas,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com