KUALA LUMPUR: Kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bergantung kepada penyelarasan kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian dan agensi kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, setiap jentera pentadbiran perlu bergerak sederap dan seragam sebagai satu pasukan negara dalam usaha merealisasikan dasar yang berpijak pada realiti serta menepati tuntutan masa depan.
“RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13 di Putrajaya, pada Isnin.
Beliau memaklumkan, dokumen penting yang bakal membentuk hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun itu dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung bulan depan.
Dalam mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri turut memberi ruang kepada semua menteri dan pengurusan tertinggi kementerian untuk menyumbangkan idea dan cadangan bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut.
“RMK13 adalah kesinambungan kepada pembaharuan yang telah digerakkan oleh Kerajaan MADANI sejak dua tahun lalu, berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI bagi menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat serta membina negara yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan,” katanya.