Sunday, 17, August, 2025
Utama Nasional Pemergian Muhammad Nur kehilangan besar dunia intelektual – PM

Pemergian Muhammad Nur kehilangan besar dunia intelektual – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty, sebagai kehilangan besar buat dunia pemikiran agama, pendidikan dan intelektual negara.

Anwar berkata, Allahyarham yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), merupakan seorang sahabat karib dan individu yang sangat aktif serta komited dalam perjuangan Islam dan intelektualisme.

“Saya terkesan dan sangat sedih dengan pemergian beliau, apatah lagi kami sempat bertemu beberapa hari lalu.

“Saya mendoakan agar roh beliau diampuni oleh Yang Maha Esa dan ditempatkan bersama para syuhada, manakala keluarganya dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Khamis.

Allahyarham Muhammad Nur, 76, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.27 pagi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Pada 18 Januari lalu, Allahyarham turut menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas sumbangan dan kepimpinannya yang membawa impak besar kepada pertubuhan itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com