Wednesday, 22, May, 2024
Utama Nasional Malaysia paling agresif tekan keperluan tidak bergantung kepada dolar AS – Anwar

Malaysia paling agresif tekan keperluan tidak bergantung kepada dolar AS – Anwar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara ASEAN yang paling agresif menekankan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara setakat ini telah menunjukkan minat yang baik terhadap pelaksanaan dedolarisasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, China antara paling aktif menyambut usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS, selain proses rundingan sedang berjalan antara Malaysia, Vietnam dan Kemboja.

Walaupun nilai perdagangan antara Malaysia dan Singapura adalah paling tinggi iaitu 15 peratus, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara itu tidak menunjukkan minat yang terlalu kuat untuk menggunakan wang tempatan dalam perdagangan.

“Kenyataannya ialah bahawa dolar masih merupakan kekuatan utama dalam perdagangan antarabangsa. Negara-negara memilihuntuk menggunakan dolar malah, kita baru sahaja dapat meterai perjanjian di ASEAN tahun ini supaya negara-negara lain seperti di Vietnam dan Kemboja, akan bersama.

“Cuma masalahnya, bila syarikat itu terlibat dalam perdagangan antarabangsa yang lain, jadi mereka sukar untuk mengambil kira kepentingan dua negara sahaja.

“Kemudian saya tidak lihat ada minat Jepun dan Hong Kong. (Kalau) kita mengikut urutan kepentingan perdagangan ialah Thailand.

“Indonesia telah masuk (minat).. Korea tidak.. India masih mengenakan sekatan penggunaan rupee luar India, melainkan untuk warganegara India. Jadi rundingan itu mengambil masa.

“Tangga ke-10 pasaran eksport Malaysia adalah Vietnam dan Presidennya telah pun memberi arahan supaya dipercepat proses rundingan yang berada antara dua negara ini,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dengan negara-negara yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi dengan Malaysia khususnya di peringkat ASEAN, Brazil, Rusia, serta Afrika Selatan.

Dedolarisasi merujuk kepada tindakan meninggalkan penggunaan dolar AS sebagai mata wang antarabangsa untuk pelbagai transaksi dagangan.

Menjawab lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu berkata terdapat juga cadangan untuk melibatkan negara-negara BRICS, ini setakat ini paling ketara adalah China.

Begitu pun, Perdana Menteri berkata belum ada usaha untuk memperluaskan dedolarisasi ke Afrika dan Latin Amerika.

“Tetapi saya percaya dengan kejayaan ASEAN, dengan China ini menjadi tanda petunjuk untuk memungkinkan (tarikan negara-negara BRICS) kerana ada keuntungan bagi memperkukuh kedua-dua mata wang tempatan,” tambah beliau.

Sementara itu menjawab soalan mengenai cadangan penggunaan mata wang dinar, Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai satu cadangan yang baik dan tidak merugikan negara.

Sebaliknya, Anwar berpandangan penggunaan mata wang tersebut mampu mengukuhkan kekuatan dalaman domestik ekonomi negara masing-masing termasuk negara Islam.

Jelas Anwar, cadangan penggunaan mata wang dinar antara topik yang bakal diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam, yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur Disember ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com