Saturday, 28, June, 2025
Utama Umum ‘Saya bukan pelajar genius’ – usaha konsisten, sokongan guru pacu raih STPM PNGK 4.0

‘Saya bukan pelajar genius’ – usaha konsisten, sokongan guru pacu raih STPM PNGK 4.0

oleh Ammar Haziq

PENDANG – “Saya bukan pelajar genius. Saya perlu ulang banyak kali, baca banyak kali.”

Itu luahan jujur pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang, Sapsirik a/p Bunteng, 19, yang masih sukar mempercayai kejayaannya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) maksimum 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Berasal dari keluarga sederhana, anak sulung kepada pekerja kampung, Bunteng a/l Esun, dan juru kaunter, Ekhi, mengakui kejayaannya bukan hasil kepintaran luar biasa, sebaliknya berkat usaha yang berterusan serta bimbingan guru yang tidak pernah jemu memberi sokongan.

“Setiap hari saya belajar antara empat hingga enam jam. Balik sekolah saya rehat sekejap, kemudian sambung semula dua jam. Waktu malam pula saya ulang kaji dari 8 hingga 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui di SMK Kubor Panjang, di sini, baru-baru ini.

Bagi pelajar berdarah Siam itu, kejayaan kali ini cukup manis memandangkan pencapaian tiga semester sebelumnya sekadar mencatat PNGK bawah 3.50.

“Saya sangat terkejut. Tak sangka boleh capai 4.0 sebab saya bukan jenis pelajar yang cepat faham. Tapi cikgu banyak bantu. Mereka beri tip belajar, motivasi, dan galakan. Saya sangat bersyukur,” jelasnya yang bercita-cita menjadi guru sejarah.

Sapsirik merupakan antara lapan pelajar SMK Kubor Panjang yang memperoleh PNGK 4.00, sekali gus melonjakkan sekolah tersebut sebagai penerima gelaran Sekolah Terbaik STPM 2024 bagi negeri Kedah, bersama SMK Serdang.

Seorang lagi calon cemerlang, Itmam Shatri Mohamad Radzi, turut tidak menyangka pencapaiannya apabila diumumkan memperoleh keputusan maksimum.

“Alhamdulillah… saya tak jangka. Ibu bapa saya, yang juga guru, serta semua cikgu di sekolah banyak beri dorongan. Kejayaan ini untuk mereka,” katanya ringkas.

Bagi Adibah Romli, 19, kejayaan meraih PNGK 4.0 menjadi titik perubahan selepas mengalami kegagalan semasa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu.

“Semasa SPM dulu saya bukan pelajar cemerlang. Tapi saya anggap STPM sebagai peluang kedua. Saya belajar dari kesilapan dan berusaha sedaya upaya,” ujarnya penuh semangat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com