Monday, 17, February, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Reman lima suspek kes bakar rumah disambung seminggu

Reman lima suspek kes bakar rumah disambung seminggu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Reman lima lelaki disambung selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes kematian warga emas dan anak angkatnya yang ditemukan rentung di dalam sebuah rumah di Tongkang Yard pada Selasa lalu.

Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali mengeluarkan perintah tersebut bermula Isnin sehingga 3 Februari depan untuk polis melengkapkan siasatan.

Pada 22 Januari lepas, kelima-lima suspek terbabit telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes kematian dua lelaki itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata kelima-lima suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan sejurus selepas kejadian kebakaran berkenaan.

Tiga suspek utama didapati positif dadah manakala dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kes ini pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sebelum disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan di lokasi oleh polis bersama pihak forensik bomba menemui botol berisi petrol dan kesan petrol, yang menunjukkan perbuatan terbabit bermotifkan dendam.

Pada Selasa, media melaporkan seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com