Saturday, 28, June, 2025
Utama Ekonomi SST: limau mandarin dan kurma pula dikecualikan

SST: limau mandarin dan kurma pula dikecualikan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pengecualian dua lagi jenis buah-buahan import iaitu limau mandarin dan kurma daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dikuatkuasakan bermula 1 Julai ini.

Keputusan itu dimaklumkan susulan pengecualian ke atas buah epal dan oren yang diumumkan lebih awal oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan sebarang pelarasan cukai tidak membebankan rakyat, terutamanya bagi barangan makanan keperluan.

“Kerajaan tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian seperti beras, ayam, daging, telur, sayur-sayuran dan ikan tempatan termasuk selar, tongkol, cencaru dan sardin sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar,” jelas kenyataan itu.

Dalam usaha mengurangkan kesan kepada golongan peniaga kecil, Perdana Menteri turut bersetuju menaikkan nilai ambang pendaftaran Cukai Perkhidmatan bagi perkhidmatan pajakan, sewaan dan kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.

Langkah ini membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati pengecualian cukai, sekali gus mengurangkan bebanan kos operasi.

“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan bagi kategori tersebut,” kata MOF.

Kerajaan turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop cukai kepada perkhidmatan kecantikan susulan maklum balas rakyat yang membantah langkah berkenaan.

Antara perkhidmatan yang dikecualikan termasuk rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah, serta khidmat gunting dan dandanan rambut.

“Kerajaan mendengar dan mengambil kira sentimen awam sebelum membuat keputusan ini,” kata kenyataan itu lagi.

MOF turut menggesa orang ramai agar merujuk maklumat rasmi termasuk infografik, garis panduan dan soalan lazim (FAQ) menerusi portal kementerian dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memahami pelaksanaan SST yang terkini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com