KUANTAN:Karnival Al-Falah MADANI 2025 anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sejak ia bermula Jumaat lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sambutan luar biasa itu mencerminkan minat dan sokongan masyarakat terhadap program berkonsepkan kerohanian serta kebajikan yang dibawakan.
Menurut beliau, kehadiran dijangka terus meningkat hari ini sempena hari terakhir penganjuran karnival yang berlangsung di perkarangan Masjid Jamek Berserah, di sini.
“Esok kita akan adakan Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’addah Al-Falah MADANI melibatkan pengagihan bakul makanan kepada 300 asnaf sekitar kawasan ini.
“Saya menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama keluarga memeriahkan karnival ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan karnival berkenaan semalam.
Tambah beliau, penganjuran julung kali itu merupakan platform holistik yang merangkumi elemen pendidikan, pameran pelbagai agensi kerajaan serta penglibatan komuniti setempat.
“Kita berharap karnival seperti ini dapat diperluas ke negeri-negeri lain selepas ini kerana impaknya cukup besar dari segi perpaduan dan kefahaman Islam yang rahmah,” katanya.
Dalam ucapannya, Mohd Na’im turut menekankan bahawa pendekatan inklusif yang diketengahkan melalui program sebegini dapat memperkukuh ukhuwah serta menolak fahaman ekstrem.
“Program sebegini membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, ibu bapa hingga warga emas. Semua ada tempat, semua diberi peluang,” katanya.
Karnival Al-Falah MADANI antaranya menampilkan pameran agensi kerajaan dan swasta, pengisian ilmu, klinik ibadah, pemeriksaan kesihatan, aktiviti kekeluargaan serta jualan produk usahawan tempatan.