JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mempercepat pelaksanaan kerjasama strategik rentas sempadan, termasuk di kawasan maritim Ambalat, demi kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara.
Perkara itu dimuktamadkan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, di sini.
Anwar berkata, kerjasama ekonomi di kawasan sempadan wajar disegerakan walaupun rundingan teknikal berkaitan sempadan maritim masih belum mencapai kata putus.
“Kalau masih ada kekangan dari aspek perundangan, ia tidak menghalang kita untuk bergerak dalam kerangka kerjasama ekonomi. Kita boleh mulakan inisiatif pembangunan bersama yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya pada sidang media bersama selepas pertemuan itu.
Prabowo turut sependapat bahawa isu teknikal berkaitan persempadanan perlu diurus dengan pragmatik sambil membuka laluan kepada projek pembangunan bersama yang saling menguntungkan.
“Kami sepakat mencari penyelesaian damai dan adil terhadap isu perbatasan. Sementara itu, wilayah seperti Ambalat boleh dijadikan tapak kerjasama menerusi mekanisme joint development,” ujar beliau.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kebudayaan serta sektor perdagangan dan pelaburan, lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
Dalam pada itu, Anwar dan Prabowo turut mengesahkan bahawa Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 akan diadakan bulan depan bagi merangka hala tuju hubungan dua hala yang lebih menyeluruh.
Menyentuh soal serantau, Anwar menegaskan keprihatinan terhadap konflik berpanjangan di Myanmar, dan Malaysia beriltizam untuk membantu mencari penyelesaian secara diplomatik, disokong kepakaran Indonesia dalam pengurusan krisis.
“Kita juga bimbang dengan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja dan berpandangan wajar untuk kedua-dua negara itu didekati bagi meredakan situasi,” tambahnya.
Anwar berada di Jakarta untuk lawatan rasmi sehari dan turut diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Delegasi Malaysia berlepas pulang ke tanah air sekitar jam 5 petang waktu tempatan dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma.