PUTRAJAYA: Projek Kota MADANI bukan hanya bertujuan menyediakan kediaman kepada penjawat awam, sebaliknya dirancang secara menyeluruh berasaskan nilai Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, projek berkenaan adalah langkah strategik Kerajaan MADANI bagi menangani isu penjawat awam yang masih belum memiliki rumah sendiri.
“Ini bukan projek biasa. Kita beri satu keselesaan luar biasa… sekolah berhampiran, masjid, gimnasium dan taman permainan – semua elemen diambil kira. Ia sebuah kota moden berkonsep MADANI yang mengutamakan kesejahteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini.
Projek Kota MADANI yang dilancarkan pada 26 Jun lalu akan dibangunkan di Presint 19, Putrajaya sebagai sebuah bandar pintar mesra rakyat dan alam sekitar.
Pembangunan bernilai RM4 bilion itu akan dilaksanakan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan bina, pajak, selenggara dan pindah (BLMT), tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Perdana Menteri turut memuji usaha Perbadanan Putrajaya (PPj) yang telah membaik pulih hampir 98 peratus unit kuarters penjawat awam yang rosak.
Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan terhadap perumahan masih tinggi dan memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Anwar turut menempelak pihak tertentu yang mengkritik projek itu atas dasar politik, sambil menegaskan bahawa ia dirancang secara tersusun tanpa membebankan kerajaan, malah dikendalikan dengan keupayaan dalaman PPj.
Kota MADANI dijangka menempatkan lebih 30,000 penduduk dengan penyediaan 10,000 unit kediaman berintensiti tinggi, selain pelbagai kemudahan awam termasuk sekolah menengah.
Fasa pertama pembangunan dijadual bermula September ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2027.