Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional PM lawat tiga pusat ekonomi dunia, guna penerbangan sewaan khas

PM lawat tiga pusat ekonomi dunia, guna penerbangan sewaan khas

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke tiga pusat ekonomi utama dunia iaitu Rom, Paris dan Rio de Janeiro bermula 1 hingga 7 Julai ini, menggunakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata penggunaan pesawat sewaan khas dibuat bagi menjimatkan masa, mengawal kos serta menyelaras pergerakan delegasi secara lebih efisien.

“Memandangkan jadual lawatan padat membabitkan tiga negara tanpa transit panjang, penyewaan pesawat khas adalah lebih menjimatkan berbanding penggunaan pesawat kerajaan secara penuh.

“Ia juga membolehkan delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas serta tiba secara serentak, sekali gus menjamin kehadiran tepat waktu untuk semua sesi mesyuarat dan libat urus,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Katanya, seramai 17 wakil delegasi perniagaan dari syarikat gergasi dan perusahaan inovatif negara seperti Petronas, Khazanah dan Tenaga Nasional Berhad akan turut menyertai lawatan berkenaan.

Tunku Nashrul menegaskan bahawa semua kos delegasi perniagaan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat masing-masing, sekali gus menolak dakwaan wujudnya konflik kepentingan.

“Delegasi perniagaan menanggung sendiri semua kos perjalanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga negara yang dilawati merekodkan nilai dagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion (AS$11.14 bilion) pada tahun 2024 dan menawarkan potensi besar dalam bidang ekonomi, kebudayaan, teknologi dan pendidikan.

Sempena lawatan itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi ketiga-tiga negara iaitu Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Sesi Meja Bulat Perniagaan turut dijadualkan bagi menghimpunkan peneraju industri dari Malaysia dan negara tuan rumah bagi merancakkan lagi kerjasama ekonomi dua hala.

Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan di Universiti Sorbonne dan mengadakan pertemuan bersama komuniti Islam di Paris.

Sementara itu, lawatan ke Brazil adalah bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17, selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Kehadiran Malaysia sebagai Rakan Negara BRICS dan Pengerusi ASEAN akan menekankan kepentingan multilateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim serta kesihatan global,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com