Wednesday, 20, August, 2025
Utama Nasional PM tegaskan kerajaan tidak campur urusan badan kehakiman

PM tegaskan kerajaan tidak campur urusan badan kehakiman

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mencampuri urusan badan kehakiman negara, sebaliknya sentiasa menghormati proses, kedudukan dan kebebasan institusi tersebut sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, isu pelantikan atau penyambungan perkhidmatan penjawat awam termasuk hakim tidak seharusnya dijadikan bahan politik atau dinilai berdasarkan sentimen mana-mana kelompok.

“Mana-mana penjawat awam atau hakim, apabila sampai tempoh persaraan, ada prosedurnya. Ia tidak berlaku secara automatik. Tetapi apabila ada kempen mendesak supaya disambung atau tidak disambung, ia mencemarkan integriti institusi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.

Anwar berkata, suasana politik semasa memperlihatkan seolah-olah keputusan menyambung atau tidak menyambung perkhidmatan seseorang dijadikan ukuran kesetiaan politik oleh pihak tertentu.
“Kalau sambung, dikata khianat. Kalau tak sambung pun dikata khianat. Ini tidak wajar. Bila institusi kehakiman dipolitikkan, ia menjadi bahan umum dan menjejaskan kepercayaan rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menolak dakwaan bahawa keputusan pelantikan atau penyambungan jawatan tertentu terletak sepenuhnya di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Ini bukan kuasa Perdana Menteri seorang. Ada suruhanjaya, ada Yang di-Pertuan Agong, dan ada Majlis Raja-Raja. Semua pelantikan perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan,” jelasnya.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan kehakiman dan hanya berhubung secara rasmi dengan Ketua Hakim Negara.

“Saya elak daripada menemui mana-mana hakim kanan, kecuali Ketua Hakim Negara. Dalam semua perjumpaan, saya tidak pernah campur dalam keputusan penghakiman. Itu hak mutlak hakim,” katanya.

Perdana Menteri turut merujuk dua kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang masing-masing menerima keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Kalau Najib dapat DNAA, saya dituduh campur tangan. Bila Syed Saddiq dapat DNAA, pun saya dituduh. Kalau tak dapat DNAA pun salah. Saya tegaskan, itu bukan urusan saya. Kita kena hormat keputusan hakim,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyeru semua pihak agar mempertahankan institusi kehakiman dan perkhidmatan awam daripada dipengaruhi sentimen politik atau tekanan kumpulan tertentu.

“Kita kena pertahankan institusi ini, bukan ikut selera politik. Ada kelompok elit peguam yang menyokong, ada juga badan Islam yang menentang. Saya baca semua pandangan, tetapi keputusan mesti berpandukan undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengimbas kembali pengalaman peribadinya yang pernah berdepan dengan proses siasatan dan perbicaraan yang tidak adil.
“Saya pernah kena. Belum ada laporan polis pun, sudah ditangkap. Kita tidak boleh ulang kesilapan itu,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dijadual bersara pada 2 Julai ini masih menjadi tanda tanya sama ada akan diberi lanjutan tempoh perkhidmatan selama enam bulan.

Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh dilanjutkan tempoh perkhidmatan selama enam bulan selepas umur persaraan wajib 66 tahun, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com