Thursday, 3, July, 2025
Utama Ekonomi GST belum sesuai dilaksana semula – Menteri Kewangan II

GST belum sesuai dilaksana semula – Menteri Kewangan II

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menafikan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan sistem percukaian yang lebih holistik dan mungkin lebih baik untuk sektor perniagaan. Namun, pelaksanaannya ketika ini dilihat belum sesuai kerana impak langsungnya kepada rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menjelaskan, walaupun GST memberi kelebihan kepada perniagaan melalui mekanisme tuntutan semula cukai, pelaksanaannya bersifat menyeluruh dan kompleks, sekali gus memerlukan persediaan rapi dan masa yang panjang.

“Dengan SST, kerajaan mempunyai kuasa memilih sektor mana yang dikenakan cukai. Jika menggunakan GST, kaedah itu lebih rumit. Misalnya, bila kita umumkan sektor kesihatan dan kecantikan dikenakan cukai, ada reaksi daripada wanita – dan kita terus beri pengecualian. Kalau guna GST, proses pengecualian sebegitu tidak semudah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed sempena Invest ASEAN-Malaysia Conference 2025 yang berlangsung selama tiga hari di ibu negara.

Menurut Amir Hamzah, selepas pemansuhan GST pada 2018, kebanyakan syarikat tidak lagi memiliki sistem bersedia untuk menampung pelaksanaannya. Maka, jika GST ingin diperkenal semula, ia akan mengambil masa sekitar dua tahun untuk proses pelaksanaan penuh.

“Negara tidak mempunyai masa selama dua tahun hanya untuk menyesuaikan sistem. Banyak perkara lain yang perlu diberikan keutamaan,” jelasnya.

Polemik mengenai GST kembali menjadi perbincangan hangat apabila ada pihak berpendapat sistem itu lebih telus dan efisien berbanding peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan semula GST selagi gaji minimum rakyat belum mencapai RM4,000 sebulan.

“Biarlah pendapatan rakyat meningkat dahulu. Ketika itu barulah kita boleh pertimbang semula GST. Ketika ini ia hanya akan menambah beban,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada peningkatan pendapatan menerusi pelan Ekonomi MADANI, sebelum menilai semula keperluan untuk memperkenalkan semula GST.

“Fokus kerajaan sekarang adalah menaikkan lantai pendapatan rakyat. Bila pendapatan telah stabil, barulah kita boleh berbincang semula mengenai GST. Buat masa ini, SST adalah sistem yang tersedia dan sesuai digunakan mengikut keperluan semasa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com