Saturday, 5, July, 2025
Utama Ekonomi Malaysia harap hubungan kukuh dengan Perancis, manfaat jangka panjang – PM

Malaysia harap hubungan kukuh dengan Perancis, manfaat jangka panjang – PM

oleh Ammar Haziq

PARIS: Malaysia optimis hubungan erat dan berterusan dengan Perancis akan membawa manfaat besar kepada negara dalam jangka panjang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, usaha untuk memperkukuh kerjasama dua hala itu akan menjadi antara intipati utama dalam pertemuan rasmi beliau bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang dijadual berlangsung pada Jumaat.

“Kita akan meneroka pelbagai ruang kerjasama baharu. Malah, hubungan antara Malaysia dan Perancis telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun lalu, bukan hanya dari segi pembelian kapal terbang, tetapi turut merangkumi penyertaan dalam rantaian bekalan global seperti penghasilan alat ganti,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Anwar berkata, Malaysia kini tidak lagi hanya bergantung kepada pembelian pesawat dari Airbus dan Boeing, sebaliknya turut memainkan peranan sebagai pembekal komponen penting kepada syarikat pengeluar pesawat tersebut melalui syarikat tempatan.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Anwar turut menasihati para pelajar Malaysia di Perancis agar memanfaatkan peluang menimba ilmu dalam bidang teknologi tinggi yang sedang berkembang pesat di tanah air dan pulang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Lawatan rasmi Anwar ke Perancis adalah atas jemputan rasmi Presiden Macron, dengan pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin dijadual berlangsung di Istana Elysee.

Antara agenda utama perbincangan ialah kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU). Bagi tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), manakala dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, nilai dagangan telah merekodkan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com