Saturday, 5, July, 2025
Utama Negeri UUM bantu anak yatim raih 10A SPM, hampir lupakan impian ke universiti

UUM bantu anak yatim raih 10A SPM, hampir lupakan impian ke universiti

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Impian seorang pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke universiti hampir terkubur akibat kekangan kewangan, namun segalanya berubah apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil menghulurkan bantuan.

Siti Nur Aisyah Mat Nawi, 18, anak yatim bongsu daripada tiga beradik, meraih keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, namun terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pelajaran kerana kesempitan hidup.

Kisah menyayat hati remaja dari Rantau Panjang itu tular di media sosial, mencetuskan gelombang simpati dalam kalangan netizen dan pihak berkepentingan.

Prihatin dengan nasib yang menimpa, UUM melalui delegasi khas yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, mengadakan lawatan ke kediaman Aisyah bagi menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.

Antara bantuan yang disalurkan termasuk pembiayaan penuh yuran pengajian Asasi, sebuah komputer riba, kemudahan perjalanan ke kampus, penginapan sementara untuk keluarga, serta bantuan kewangan tambahan.

“Universiti amat prihatin terhadap kebajikan pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang berpotensi besar tetapi berdepan kekangan kewangan.

“Aisyah merupakan simbol harapan dan ketabahan generasi muda. Kami mahu pastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kesempitan hidup,” Ahmad Martadha.

Turut serta dalam lawatan itu ialah barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM termasuk Yang Dipertua, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain; Setiausaha Agung, Nurulain Nabila Mohd Hanif; dan Timbalan Naib Yang Dipertua, Nur Anissa Adyani Mohd Norhisham.

Mohamad Amar berkata, bantuan ini diharap menjadi pembakar semangat buat Aisyah untuk terus melangkah maju dalam bidang akademik.

“Kami percaya Aisyah mampu pergi jauh. Ini bukan sekadar bantuan, tetapi pelaburan masa depan negara,” katanya.

Lawatan turut disertai Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim bersama kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO bahagian tersebut.

Akbar turut menyampaikan sumbangan peribadi dan memaklumkan bahawa bantuan berterusan akan disalurkan sepanjang tempoh pengajian Aisyah.

Langkah ini mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan pelajar berpotensi tinggi tidak terpinggir hanya kerana faktor kewangan.

Aisyah yang kelihatan terharu mengucapkan rasa syukur atas keprihatinan semua pihak.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan mensia-siakan peluang ini. Terima kasih kepada UUM dan semua yang membantu,” katanya sebak.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com