Sunday, 6, July, 2025
Utama Ekonomi AirAsia tempah 50 pesawat A321XLR bernilai RM51.7 bilion

AirAsia tempah 50 pesawat A321XLR bernilai RM51.7 bilion

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: AirAsia menandatangani perjanjian pembelian 50 pesawat jarak jauh Airbus A321XLR bernilai AS$12.25 bilion (RM51.72 bilion), dengan penyerahan dijadual bermula pada tahun 2028.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Airbus di Paris bagi pembelian pesawat tersebut, dengan hak pembelian tambahan bagi 20 buah lagi A321XLR.

Beliau berkata, kumpulan pesawat baharu itu disasarkan untuk operasi ke destinasi seperti Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah.

“Ini dijangka menjadikan kami antara pengguna terbesar A321XLR di dunia dan menandakan fasa penting dalam transformasi AirAsia sebagai rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah pelbagai hab pertama di dunia,” katanya.

Fernandes menjelaskan pesawat generasi baharu itu akan melengkapkan operasi kumpulan pesawat sedia ada AirAsia, termasuk A320 dan A330, bagi mencapai sasaran membawa 150 juta penumpang setahun menjelang 2030 serta mencecah jumlah keseluruhan 1.5 bilion penumpang sejak penubuhan syarikat itu.

Tambahnya, pembiayaan pesawat tersebut dirancang melalui pajakan bank, dan pihaknya akan mengumumkan satu lagi tempahan pesawat baharu pada bulan depan.

“Kami juga sedang merancang untuk menerbitkan bon pertama menjelang Oktober ini. Buat pertama kali dalam sejarah, kami kini dinilai oleh agensi penarafan kredit antarabangsa,” katanya.

Mengulas strategi pembiayaan, Fernandes berkata AirAsia sebelum ini beralih kepada pajakan operasi susulan kadar faedah yang tinggi dan akses mudah kepada modal sektor pajakan. Namun katanya, strategi itu kini sedang dinilai semula.

“Apabila kadar faedah mula menyederhana, yang saya harap akan berlaku tidak lama lagi, adalah wajar untuk kami kembali kepada model tradisional dengan memiliki pesawat sendiri,” katanya.

Sementara itu, Fernandes berkata pihaknya dijangka menghantar semula surat keputusan berkaitan cadangan pelan penyusunan dan penstrukturan semula Capital A kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Selepas menjual perniagaan penerbangan, Capital A secara efektif akan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17),” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com