KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Forum Kerjasama BRICS agar memperkukuh perdagangan sesama negara anggota, sepertimana yang dilakukan oleh ASEAN, dalam usaha memperkukuh pendekatan multilateralisme dan kedaulatan ekonomi negara-negara membangun.
Beliau berkata penyertaan aktif komuniti perniagaan dan sektor swasta dalam BRICS membuktikan potensi besar forum itu untuk menjadi platform ekonomi yang berdaya saing dan bebas daripada pengaruh kuasa besar.
“Dengan konsep tidak berpihak kepada mana-mana blok, BRICS harus berbicara dari sudut kekuatan ekonomi dan kedudukan sebagai negara yang bebas serta berdaulat, bukan lagi dilihat sebagai negara bekas jajahan yang lemah,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan BRICS di Rio de Janeiro, Brazil, sempena lawatan rasmi tiga harinya ke negara Amerika Selatan itu yang bermula Sabtu lalu.
Menurut Anwar, sudah tiba masanya prinsip multilateralisme yang sering dilaungkan diterjemah dalam bentuk tindakan nyata, khususnya dalam memperkukuh hubungan perdagangan antara negara-negara anggota.
“Kita mesti cuba mempromosikan prinsip kepusatan, bersahabat dengan semua dan menyokong perjuangan yang adil. Tetapi ia tidak cukup dengan retorik dan kenyataan politik semata-mata — ia mesti diterjemah melalui tindakan konkrit.
“Seperti mana ASEAN menjadikan komuniti perniagaan sebagai tonggak, BRICS juga perlu memanfaatkan kekuatan ekonomi dalaman dengan meningkatkan perdagangan intra-BRICS,” katanya.
Beliau menegaskan hanya dengan kekuatan ekonomi dalaman, BRICS mampu berunding secara adil dan seimbang dalam hubungan dagang dengan blok ekonomi lain.
Perdana Menteri turut menggesa supaya sistem antarabangsa dan institusi multilateral utama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menjalani reformasi agar lebih adil dan demokratik kepada semua negara.
“Kita mesti menuntut perubahan terhadap struktur sedia ada, yang kadangkala tidak mencerminkan keperluan dan cabaran negara membangun,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika dalam urusan perdagangan serantau.
Katanya, negara-negara ASEAN termasuk Malaysia telah memulakan langkah ke arah penyelesaian kewangan menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan.
“Sudah tentu kita tidak bercakap tentang ‘de-dolarisasi’ sepenuhnya kerana ia satu perjalanan panjang. Tetapi sekurang-kurangnya kita telah mula mencuba.
“Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan juga China telah berusaha menggunakan mata wang tempatan masing-masing. Walaupun pada tahap awal hanya 10 atau 20 peratus, ia tetap memberi kesan yang bermakna,” katanya.