Sunday, 6, July, 2025
Utama Ekonomi Anwar tiba di Brazil hadiri Sidang Kemuncak BRICS

Anwar tiba di Brazil hadiri Sidang Kemuncak BRICS

oleh Ammar Haziq

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung dari 6 hingga 7 Julai.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Galeao, Rio de Janeiro pada jam 5.41 pagi waktu tempatan, Sabtu.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Promosi Perdagangan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Budaya, Kementerian Luar Brazil serta Pemangku Ketua Perwakilan Malaysia ke Brazil, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Anwar yang tiba dari Paris selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Perancis, dijadual menyampaikan dua kenyataan negara pada sidang kemuncak tersebut.

Menurut Mohammad Ali, kedua-dua intervensi itu akan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh multilateralisme dan mengangkat suara negara membangun, sejajar objektif utama BRICS 2025.

Penyertaan Malaysia adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025. Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari lalu.

Semasa lawatan ke Rio de Janeiro, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadual mengadakan pertemuan perniagaan dengan syarikat aeroangkasa Brazil, Embraer, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kerjasama pelaburan dan teknologi.

Delegasi Perdana Menteri disertai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai kanan kerajaan dan wakil syarikat Malaysia.

Perdagangan dua hala Malaysia-Brazil meningkat 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (AS$4.38 bilion) pada 2024, berbanding RM17.43 bilion tahun sebelumnya, menjadikan Brazil antara rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin.

Eksport utama Malaysia ke Brazil termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E), getah, petroleum, bahan kimia serta produk berasaskan minyak sawit. Import pula merangkumi bijih logam, daging, kopi dan petroleum mentah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com