Sunday, 6, July, 2025
Utama Ekonomi Anwar wakili Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS ke-17

Anwar wakili Malaysia di Sidang Kemuncak BRICS ke-17

oleh Ammar Haziq

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan dua Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung di sini dari 5 hingga 7 Julai.

Menurut Pemangku Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Datuk Mohammad Ali Selamat, kenyataan tersebut akan disampaikan pada dua sesi berasingan iaitu Strengthening Multilateralism, Economic, Financial Affairs and Artificial Intelligence pada hari pertama dan Environment, COP 30, and Global Health pada hari kedua persidangan.

Katanya, penyertaan Malaysia kali ini dibuat atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS, selepas pengiktirafan rasmi bermula 1 Januari 2025.

“Tema sidang kemuncak kali ini ialah Turning Global South Cooperation for More Inclusive and Sustainable Governance. Ia merupakan sidang pertama membabitkan ketua-ketua negara dan kerajaan anggota serta rakan BRICS,” katanya.

Mohammad Ali berkata, kehadiran Perdana Menteri memberi peluang kepada Malaysia untuk menonjolkan dasar dan komitmen terhadap pembangunan inklusif serta mampan, selain menyuarakan keutamaan semasa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Tambahnya, Malaysia juga akan berkongsi pandangan strategik terhadap pelbagai cabaran global termasuk perubahan iklim, kesihatan awam dan transformasi digital.

Lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva. Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara lain di sela-sela sidang kemuncak tersebut.

Delegasi Malaysia kali ini turut disertai 48 wakil perniagaan daripada 14 syarikat terkemuka termasuk Westports Holdings, UEM Group dan CIMB Group, bagi meneroka peluang kerjasama pelaburan dan perdagangan.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil kini mencecah RM20.35 bilion, meningkat 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Brazil merupakan antara pasaran utama Malaysia di Amerika Latin, khususnya bagi produk elektrik, elektronik dan getah.

Malaysia pula mengimport daging halal, gula mentah serta produk pertanian seperti soya dan kopi dari Brazil, yang turut menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.

Mengulas kemungkinan Malaysia menyertai BRICS sebagai anggota penuh, Mohammad Ali menjelaskan bahawa perkara itu tidak dibincangkan dalam lawatan kali ini.

“Buat masa ini, tumpuan Malaysia adalah menyampaikan dua kenyataan negara dalam sidang kemuncak. Perbincangan ke arah keahlian penuh belum berada dalam agenda,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com