Sunday, 6, July, 2025
Utama Negeri Kampung Tengah, Kuala Kedah dipilih Kampung Angkat MADANI UUM

Kampung Tengah, Kuala Kedah dipilih Kampung Angkat MADANI UUM

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – Penduduk Kampung Tengah di sini menerima khabar gembira apabila kampung mereka dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan komuniti setempat.

Majlis pelancaran projek berkenaan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UUM Holdings, Dato’ Abdul Muthalib Harun di Dewan Orang Ramai Kampung Tengah, yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan barisan kepimpinan universiti.

Menurut Dato’ Abdul Muthalib, pemilihan Kampung Tengah yang terletak dalam Parlimen Kuala Kedah dan DUN Kubang Rotan merupakan satu penghormatan besar, apatah lagi projek ini disokong dengan peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Dewan ini dahulunya Pejabat Penghulu Mukim Kuala Kedah, kini telah dinaik taraf hasil pemantauan ICU, Jabatan Perdana Menteri.

“Kini UUM pula hadir membawa pelbagai inisiatif untuk membangunkan komuniti, inilah nikmat pembangunan yang kita syukuri,” katanya.

Antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan termasuk menaik taraf dewan orang ramai, program tuisyen percuma, program kesihatan, klinik bola sepak, serta pemberian sijil pengadil bola sepak kepada belia tempatan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad berkata, projek ini merupakan kesinambungan daripada Belanjawan 2025 yang menekankan penglibatan institusi pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

“Kami tidak hanya fokus kepada infrastruktur, tetapi juga pemindahan ilmu, pembinaan jati diri dan semangat gotong-royong antara warga universiti dan penduduk kampung,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik beberapa program seperti Program POTENSI 25 kepada SMK Sri Pantai dan SMK Laksamana, Program PRINTIS kepada komuniti Kuala Kedah, Klinik dan Sijil Pengadilan Bola Sepak kepada pelajar dan belia, Program Kesihatan termasuk bantuan kerusi roda kepada keluarga memerlukan, Kursus Kepimpinan kepada JPKKP Kampung Tengah dan sumbangan beras kepada 50 keluarga terpilih

Pada sebelah petang, Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut hadir menandatangani plak perasmian dan menyertai program Ziarah Kasih sebagai tanda sokongan kepada komuniti setempat.

Turut hadir, barisan Timbalan Naib Canselor UUM yang mengetuai pelbagai modul pembangunan komuniti.

Projek Kampung Angkat MADANI ini dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan landskap sosial dan ekonomi Kampung Tengah, sekali gus menjadikan UUM sebagai contoh universiti yang benar-benar mendekati rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com