Thursday, 23, October, 2025
Utama Ekonomi PM tamat lawatan rasmi tiga negara, perkukuh hubungan strategik dan ekonomi

PM tamat lawatan rasmi tiga negara, perkukuh hubungan strategik dan ekonomi

oleh Ammar Haziq

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas menamatkan siri lawatan rasmi ke tiga negara utama – Itali, Perancis dan Brazil – yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi di peringkat global.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Galeão (BAGL) pada jam 1 tengah hari waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).

Lawatan yang dimulakan di Itali berlangsung selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, dengan fokus utama mempererat hubungan dua hala merentas pelbagai sektor strategik.

Perdana Menteri diiringi lima menteri Kabinet iaitu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Turut serta, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Di Perancis, Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Emmanuel Macron membincangkan isu perdagangan, teknologi, pendidikan dan krisis kemanusiaan di Gaza.

Lawatan itu turut menyaksikan beliau menyertai sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat gergasi industri Perancis, bertemu komuniti Muslim tempatan dan rakyat Malaysia, serta menyampaikan syarahan awam di Universiti Sorbonne pada 4 Julai.

Destinasi terakhir lawatan rasmi ialah Rio de Janeiro, Brazil, di mana Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Sebagai rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memanfaatkan platform berkenaan untuk menekankan pentingnya multilateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan (AI), tindakan iklim dan kesihatan global — mewakili aspirasi lebih 650 juta penduduk ASEAN.

Keseluruhan lawatan turut disertai delegasi perniagaan terdiri daripada syarikat korporat utama dan perusahaan inovatif Malaysia termasuk Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.

Tiga negara yang dikunjungi mencatat nilai dagangan dua hala mencecah RM50.91 bilion (US$11.14 bilion) tahun lalu, sekali gus menjadikan lawatan ini sebagai satu usaha strategik bagi memperkukuh peranan Malaysia dalam ekonomi global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com