Wednesday, 16, July, 2025
Utama Nasional Pelantikan Ketua Hakim Negara dijangka diumum esok

Pelantikan Ketua Hakim Negara dijangka diumum esok

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja dijangka membuat keputusan dan mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti di sini, hari ini.

“Pagi tadi saya telah mengadakan perbincangan panjang bersama Majlis Raja-Raja, dan saya fikir biarlah mereka yang memutuskan. Insya-Allah esok akan ada pengumuman yang jelas dan akan menolak segala persepsi negatif tersebut,” katanya.

Anwar turut mengakui mengambil maklum kebimbangan yang timbul berhubung kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara serta persepsi negatif yang dikaitkan dengan proses pelantikan itu.

“Tanggapan bahawa beberapa pelantikan bagi jawatan penting dalam badan kehakiman mungkin seolah-olah terjejas atau dicemari.

“Ada calon-calon yang dikatakan dipersoalkan atau diragui oleh sesetengah pihak tetapi saya memberi jaminan bahawa perkara ini tidak berlaku.

“Nama-nama yang dipersoalkan, atau kelihatan mencurigakan, tidak pernah pun dibawa untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan isu tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan lagi dan berharap pengumuman rasmi yang akan dibuat kelak mampu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip kebebasan kehakiman.

“Saya tutup perkara ini, dan saya harap, insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani komited kepada reformasi termasuk prinsip kebebasan kehakiman,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar sekali lagi menekankan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan kehakiman atau berbincang dengan mana-mana hakim berhubung sebarang kes.

“Saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana hakim mengenai sebarang kes, sama ada dengan Ketua Hakim Negara mahupun hakim-hakim lain. Saya kekal memegang prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com