KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak berkaitan agar memperkukuhkan tekad dan komitmen dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di negara ini.
Beliau berkata, antara langkah mendesak ketika ini adalah pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya menjadi lebih cekap, telus dan berintegriti.
“Susulan pencapaian Malaysia yang melonjak 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, saya meminta pihak terbabit agar terus memperbaiki kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini.
“Langkah ini penting bagi menjamin kemakmuran negara, meningkatkan keyakinan pelabur dan yang paling utama, memastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi teras utama pembangunan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara di Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu dilaporkan berkata, Malaysia mencatat peningkatan membanggakan dalam kedudukan IMD World Competitiveness Ranking 2025, apabila melonjak dari tempat ke-34 ke kedudukan ke-23 — prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, antara faktor penyumbang utama kepada pencapaian itu ialah peningkatan ketara dalam indikator berkaitan sogokan dan rasuah, yang naik sebanyak 12 anak tangga dalam laporan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan mesyuarat turut meneliti pelbagai cadangan pembangunan termasuk aspek perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri, seperti termaktub mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).