Sunday, 20, July, 2025
Utama Nasional PM seru rakyat tolak politik kebencian, umum tambahan dana perpaduan RM10 juta

PM seru rakyat tolak politik kebencian, umum tambahan dana perpaduan RM10 juta

oleh Ammar Haziq

BATU KAWAN:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak harus terperangkap dalam permainan politik perkauman dan kebencian, sebaliknya perlu bersatu membina masa depan negara yang lebih stabil dan makmur.

Menurut beliau, perpaduan nasional adalah tunjang utama kejayaan negara dan perlu sentiasa dipelihara, tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“Majoriti rakyat ialah Melayu dan Bumiputera, tetapi negara ini tidak akan aman sekiranya kita abaikan kaum lain. Apabila semua Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dihormati dan disantuni, kita akan jadi lebih kuat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini.

Anwar turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen sempit yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Beliau menyifatkan tindakan mendesak pertukaran kerajaan tanpa proses sah sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan asas demokrasi.

“Kalau rasa Perdana Menteri tiada sokongan, bawa usul di Parlimen. Jangan main desak-desak ikut emosi. Tukar kerajaan bukan melalui tekanan di jalanan, tapi ikut saluran,” katanya.

Tambah beliau, imej Malaysia sebagai negara stabil turut menarik perhatian kuasa-kuasa besar dunia, seperti yang ditunjukkan dalam penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 baru-baru ini di Kuala Lumpur.

“Malaysia kini dilihat sebagai medan pertemuan penting. Menteri Luar Amerika Syarikat dan China bertemu di sini, malah menteri Rusia turut hadir. Ini bukti dunia hormat kestabilan dan peranan Malaysia,” katanya.

Sebagai langkah memperkukuh usaha perpaduan, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara.

Dana itu katanya akan digunakan untuk memperluas pelaksanaan program kenegaraan dan perpaduan, khususnya dalam kalangan belia.

“Anak muda perlu dibentuk dengan semangat Malaysia yang inklusif. Kita tidak boleh biarkan mereka dipengaruhi fahaman sempit,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya memohon pertimbangan Perdana Menteri agar meluluskan peruntukan khas berkenaan bagi melancarkan pelaksanaan pelbagai program berkaitan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com